KEADAAN mangsa selepas dibelasah sekumpulan lelaki berhampiran Pasar Limbang, semalam.
HM Digital

Limbang: Tindakan seorang lelaki mengganggu seorang pemancing dalam keadaan mabuk mengundang padah apabila dia cedera dibelasah sekumpulan lelaki berhampiran Pasar Limbang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 1 pagi itu, lelaki berusia 38 tahun itu cedera di kepala bagaimanapun keadaannya dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Limbang.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu mengganggu pemancing itu selepas meminum arak di kawasan kaki lima berdekatan pasar terbabit.

Menurutnya, pemancing terbabit yang berang dengan kelakuan mangsa memanggil sekumpulan lelaki lalu bertindak memukulnya sebelum mereka melarikan diri.

“Kecederaan di bahagian muka lelaki itu disebabkan dipukul objek keras selepas terjatuh ketika mangsa melarikan diri.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan usaha memburu kumpulan itu masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kejadian itu tular di laman sosial dengan rakaman video menunjukkan mangsa dikejar sekumpulan lelaki sebelum dia rebah di atas jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 10:37 AM