GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


EKSEKUTIF pemasaran berusia 46 tahun maut akibat cedera parah di muka dalam pergaduhan di sebuah hotel di Stulang Laut, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah I Johor Bahru Selatan, Superintendan Rupeah Abd Wahid berkata kejadian jam 1 pagi itu berpunca daripada tindakan lelaki berkenaan memecahkan belon bagi program promosi pelancongan di hotel itu.

Katanya, kejadian berlaku ketika lelaki itu bersama rakannya selesai minum di sebuah kelab malam dan naik ke tingkat lima bangunan hotel itu.

"Ketika mangsa melalui kaki lima di depan sebuah bilik pameran yang disewa untuk program promosi pelancongan, dia memecahkan beberapa belon yang digantung di tepi pintu bilik serta menarik gegantung yang dipasang,” katanya.

Beliau berkata suspek yang kebetulan berada berdekatan bilik pameran menjerit kepada lelaki itu yang membawa kepada pertengkaran.

“Suspek menumbuk muka muka lelaki itu bertubi-tubi menyebabkan lelaki itu cedera parah di muka," katanya.

Menurut Rupeah, suspek ditahan polis Bahagian Siasatan jenayah IPD JBS dan mangsa disahkan meninggal dunia pada 5 petang semalam, di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 3:47 PM