Azhar dan telefon bimbit mengandungi logo kongsi gelap Geng 360 (gambar kecil).
Hazsyah Abdul Rahman


POLIS Sandakan menumpaskan kongsi gelap Geng 360 di daerah berkenaan selepas menahan lima ahli kumpulan berkenaan termasuk seorang yang dipanggil Kanda dalam serbuan di pusat hiburan di bandar Sandakan, 31 Ogos lalu.

Serbuan kira-kira 2 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menerusi Op Cantas.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata, kanda yang berusia 36 itu bekerja sebagai penjaga pusat hiburan berkenaan dan ditahan selepas terbabit kegiatan kongsi gelap dan menjadi ahli pertubuhan haram.

"Ketika ditahan polis merampas satu telefon bimbit milik suspek yang mengandungi pelbagai logo pertubuhan berkenaan dan tulisan Kanda.

"Suspek juga mengaku terbabit sebagai ahli geng berkenaan lebih setahun lalu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azhar berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Sandakan untuk siasatan lanjut.

"Sebelum penahanan suspek itu, polis menahan empat lelaki berusia 20 hingga 30 tahun yang juga ahli geng sama di sekitar Sandakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan Haram 1966," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada anggota polis yang gigih menjalankan siasatan sehingga berjaya mengesan suspek pertubuhan haram berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 5:39 PM