ANGGOTA RELA menjaga aliran trafik di Plaza Tol Kuala Terengganuvberikutan orang ramai mula pulang ke kota selepas menyambut Aidiladha. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
ANGGOTA RELA menjaga aliran trafik di Plaza Tol Kuala Terengganuvberikutan orang ramai mula pulang ke kota selepas menyambut Aidiladha. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Muhammad Saufi Hassan


ALIRAN trafik di beberapa lebuh raya utama menghala ke ibu negara dilaporkan sesak.

Penyelia Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Asyraf Royan berkata, kesesakan itu berikutan pertambahan kenderaan selepas orang ramai mula kembali ke ibu kota selepas cuti Aidiladha.

“Sehingga 4 petang ini, beberapa kawasan membabitkan aliran trafik dari utara menghala ke Kuala Lumpur antaranya Changkat Jering-Bukit Berapit, Sungai Perak-Terowong Menora, Ipoh-Simpang Pulai, Gopeng-Tapah, Bidor-Slim River dan Sungai Buaya-Rawang.

“Bagi arah selatan ke ibu kota pula, trafik sesak di kawasan Senawang-Port Dickson-Seremban, manakala di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kesesakan berlaku antara Plaza Tol Bentong-Bukit Tinggi,” katanya.

Asyraf berkata, pihaknya meminta pengguna fokus kepada pemanduan dan tidak memandu secara terburu-buru biarpun sudah melepasi kawasan kesesakan.

“Kita minta pengguna fokus kepada pemanduan mereka, sebab bila ada kawasan yang lancar, banyak pengguna memandu laju dan bila berlaku kemalangan akan mengakibatkan kesesakan.

“Biarpun hanya kemalangan kecil, ia tetap akan menyebabkan kesesakan memandangkan jumlah trafik yang banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 5:39 PM