Mohd Hafizee Mohd Arop dari Khartoum dan Sudan


Khartoum: Ketika negara lain seakan-akan menolak kedatangan pelarian Rohingya ke negara mereka, lain pula ceritanya dengan kerajaan Sudan apabila mereka mengalu-alukan kedatangan pelarian itu.

Pelarian Rohingya yang datang ke negara itu juga memperoleh kerakyatan Sudan sekiranya belajar serta menetap di negara itu dalam tempoh setahun dan kini 280 pelarian Rohingya berada di Sudan.

Bukan setakat itu, rakyat Sudan turut berebut-rebut untuk membuat amal bagi membantu pelarian itu dan kini dua tanah diwakafkan di Kampung Jazeera dekat Madani untuk pembangunan madrasah bagi menempatkan pelarian itu.

Perkara itu disahkan Presiden Pertubuhan Pembelaan dan Pembangunan Rohingya Mhammad Amin Mohammad Kasim yang kini berada di Sudan bagi membantu membawa masuk pelarian Rohingya dari kem di Arakan, Myanmar.

Menurut Mhammad Amin, keterbukaan Presiden Sudan Omar Al -Bashir yang mengalu-alukan kedatangan pelarian Rohingya memberikan kelegaan kepada mereka untuk membawa masuk lebih ramai pelarian ke negara itu.

Namun, masalah kewangan menjadi penghalang untuk membawa masuk lebih ramai pelarian dari kem di Arakan ke Sudan dan kos untuk membawa mereka memerlukan belanja yang cukup besar.

Katanya, seramai 280 pelarian Rohingya yang berada di Sudan bertugas sebagai imam serta tenaga pengajar agama di madrasah selepas mereka selesai menjalani pengajian agama di negara ini.

“Memang usaha kami ingin membawa masuk seramai mungkin Rohingya namun yang menjadi masalah sekarang ialah kos untuk membawa masuk kerana kami perlu membuat permit serta membeli tiket kapal terbang.

“Alhamdulillah, ketika negara lain bagaikan menolak, kami bakal menjadi bumi untuk pelarian Rohingya,” katanya yang ditemui selepas mengadakan lawatan di tanah yang diwakafkan penduduk Sudan kepada pelarian Rohingya.

Lawatan itu diadakan bersama Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zulkifli Wahijan selepas Misi Ibadah Korban di Kampung Jazeera, Madani, yang menjadi lokasi terakhir misi pertubuhan itu, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 6:05 AM
TAPAK tanah untuk pembinaan madrasah di tanah yang diwakafkan penduduk Sudan.