Keadaan lori tangki yang terbalik di Jalan Tamparuli-Ranau berhampiran Kampung Bongol. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


PEMANDU lori tangki cedera selepas kenderaan yang sarat muatan minyak sawit terbalik di Jalan Tamparuli - Ranau berhampiran Kampung Bongol, Tamparuli, Tuaran, hari ini.

Dalam kejadian 8.35 pagi itu, pemandu berusia 40-an yang patah tangan kanan dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Tuaran untuk rawatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 8.39 pagi dan seramai sembilan anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba 56 minit kemudian, bomba mendapati lori tangki membawa muatan minyak sawit sebanyak 20,000 liter terbalik di laluan menghala Kota Kinabalu.

"Pemandu dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Tuaran menggunakan ambulans," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, anggota bomba menjalankan pembersihan minyak menggunakan buih sabun pada permukaan jalan raya sebagai langkah keselamatan kepada pengguna kenderaan lain.

"Pada masa sama, petugas syarikat berkenaan dari Sepanggar tiba di lokasi untuk menampal kebocoran pada bahagian tangki lori.

"Operasi ditamatkan pada 9.55 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 1:11 PM