Essa Abu Yamin


LELAKI yang dikehendaki kerana dipercayai meragut nyawa suami isteri dalam kemalangan di Batu Pahat, Johor, Isnin lalu, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek, 29, turut ditahan kerana memiliki 0.20 gram syabu ketika hadir ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, kira-kira 1 petang semalam.

"Suspek yang juga dipercayai pengedar dadah itu turut positif methamphetamine ketika ujian saringan air kencing dilakukan.

"Lelaki berkenaan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurut Abdul Wahib, semakan rekod turut mendapati suspek masih berada dalam senarai dikehendaki polis bagi kes mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan.

"Siasatan lanjut berhubung kemalangan maut membabitkan mangsa suami isteri tempoh hari kini sedang dilakukan oleh pihak polis," katanya ketika dihubungi di Batu Pahat, hari ini.

Berita berkaitan:

Suspek langgar suami isteri diburu

Suami isteri maut dirempuh kereta

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2017 @ 4:50 PM