PETUGAS dan jawatankuasa penganjur menyusun cenderahati sebelum diserahkan kepada wakil pegawai daerah untuk diberikan kepada orang ramai yang hadir disetiap perhentian dilalui Sultan Johor Sultan Ibrahim.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Majlis pelepasan Kembara Mahkota Johor (KMJ) Ke-20 di Dataran Bandaraya Johor Bahru 9 September ini turut diwarnai pertandingan sukan rakyat.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) A Rahim Nin berkata, dengan sasaran kehadiran 5,000 pengunjung, pelbagai program menarik disediakan berterusan sebelum dan selepas majlis pelepasan.

“Tumpuan diberikan kepada kereta beroda tiga Morgan milik Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar yang akan digunakan pada KMJ kali ini.

“Pada masa sama, 24 ahli majlis semua zon di bawah seliaan MBJB akan menghantar peserta untuk menyertai pertandingan sukan rakyat,” katanya, semalam.

Menurut beliau, kempen Hari Bebas Kenderaan yang juga acara bulanan MBJB akan memeriahkan suasana selepas majlis pelancaran.

“Selain itu, kita ada program pertandingan memanah dan cabaran teh tarik. Bagi memastikan peserta program dan orang ramai selesa, sebuah khemah besar dipasang di lokasi pelepasan.

“Acara ini anjuran kerajaan negeri, sehubungan itu bendera negeri dan semua daerah dipasang di sepanjang laluan program bagi memeriahkan suasana,” katanya.

Menurutnya, selain jemputan khas, murid, pelajar dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) turut memeriahkan majlis pelepasan.

“Kerjasama baik antara semua jabatan dalam urus setia KMJ memudahkan pergerakan peserta dari Dataran Bandaraya Johor Bahru ke lokasi pertama di Kampung Pasir Gudang Baru,” katanya.

KMJ Ke-20 membabitkan jarak perjalanan 808 kilometer. Lokasi persinggahannya membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Muar, Ledang, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

Tahun ini, KMJ bertemakan ‘Menangani Gejala Sosial’ dan ‘Memperkasakan Industri Asas Tani’ dengan pelepasan di Dataran MBJB dan berakhir di Hutan Bandar Putra, Kulai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 4:44 AM