PENGARAH Operasi Masya'ir 1438 Hijrah, Mohd Norber Kassim memberi taklimat berkaitan operasi masya'ir kepada wartawan Malaysia pada 24 Ogos lalu. FOTO ihsan pembaca
Nasharuddin Muhammad
nash@hmetro.com.my


LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan memberi lebih penekanan keadaan sebenar operasi masya'ir kepada bakal jemaah haji sebagai pendedahan awal kepada mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah berkata, langkah itu perlu supaya mereka lebih bersedia apabila terpilih untuk menunaikan ibadat haji nanti.

Menurutnya, penerangan mengenai keadaan sebenar dalam khemah yang sempit serta kesesakan di Arafah, Muzdalifah dan Mina akan dibuat dalam kursus bersiri yang dihadiri bakal jemaah.

Katanya, bakal jemaah akan ditunjukkan video keadaan sebenar dalam khemah serta jauhnya tempat melontar supaya mereka dapat menghayatinya dan bersedia lebih awal.

Beliau berkata demikian pada sidang media dengan wartawan Malaysia di ibu pejabat TH di Abraj Al-Janadriyah di Makkah.

Hadir sama Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, pendekatan terbaru itu susulan maklum balas diterima ketika operasi masya'ir apabila jemaah mengadu mengenai kesesakan teruk dalam khemah terutama di Mina.


JOHAN (kiri) pada sidang media ditemani Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman. FOTO Nasharuddin Muhammad

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, secara keseluruhan, operasi haji kali ini berjalan lancar tanpa insiden yang tidak diingini dan luar jangka.

Katanya, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama dan komitmen tinggi semua petugas kebajikan dan perubatan di tanah air dan Tanah Suci, pakar rujuk dan pembimbing ibadat haji mahupun jemaah haji sendiri.

Menurutnya, sehingga kini, jumlah kematian dicatatkan adalah seramai 35 orang iaitu Makkah (22), Mina (tujuh), Arafah (dua) dan Madinah (empat).

Beliau berkata, nisbah kematian yang lebih tinggi iaitu 1:1,177 orang pada tahun ini berbanding 1:1,860 orang pada 2016 disebabkan faktor usia lanjut jemaah.

Katanya, sehingga kini, 176 jemaah masih menerima rawatan iaitu 20 orang di hospital Arab Saudi dan 156 orang di Pusat Rawatan TH Syisyah.

"Empat jemaah tidak dapat wukuf di Arafah kerana koma di hospital ketika itu.

"Sehingga kini, tiga masih koma dan seorang sudah sedar tetapi kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Jantung (CCU).

"Kita akan membawa seorang ahli keluarga setiap jemaah yang koma dengan menyediakan tiket penerbangan dan menaja penginapan selama tujuh hari.

"Ini sebahagian Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH yang menjadi amalan sebelum ini selain memulangkan semula bayaran sebanyak RM9,980," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 10:52 AM