Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. FOTO arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


JUMLAH tanah rizab Melayu di Johor meningkat kepada 555,527.859 hektar bersamaan 29.4 peratus daripada keluasan negeri sehingga 31 Julai lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu meningkat 251.844 hektar berbanding 555,276.015 hektar seperti yang dinyatakan pada Mei lalu.

Beliau berkata, berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, keluasan tanah rizab Melayu membabitkan 10 daerah dan tiga kawasan lain di Rengit, Labis dan Pengerang.

“Bagi menjaga pemilikan tanah rizab Melayu selain memastikan ia sentiasa bertambah, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dengan beberapa pendekatan.

“Kerajaan negeri mempunyai dasar bagi mana-mana tanah kerajaan yang dikurniakan kepada orang Melayu adalah disyaratkan untuk dijadikan sebagai tanah pegangan Melayu mengikut Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu 1936.

“Melalui seksyen ini, kemasukan rizab Melayu perlu melalui pewartaan sebanyak dua kali iaitu kali pertama hebahan kepada awam dan pewartaan kali kedua bertujuan memuktamadkan perizaban itu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ayub Jamil (BN-Rengit) yang meminta penjelasan mengenai keluasan tanah rizab Melayu mengikut daerah di Johor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-13, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, tanah yang diwartakan atau diluluskan menjadi tanah rizab Melayu akan kekal selamanya menjadi tanah rizab Melayu dan tidak boleh dibatalkan serta digantikan dengan sewenang-wenangnya.

“Walaupun Johor menduduki tempat yang pertama dalam soal menarik pelaburan dalam dan luar negara ke negeri ini, kepentingan untuk memelihara rizab Melayu ini tetap menjadi keutamaan kerajaan.

“Oleh itu, kerajaan negeri menetapkan bahawa mana-mana tanah yang hendak dibuat pembatalan hendaklah digantikan dengan tanah yang sifatnya adalah sama atau lebih baik dari segi keluasan dan nilaian.

“Dari 2013 hingga hari ini, kerajaan negeri hanya meluluskan empat permohonan saja pembatalan dan penggantian tanah rizab Melayu membabitkan keluasan 10.563 hektar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 1:47 PM