Suasana calon menduduki peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerantut pada 2016. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


SERAMAI 443,794 calon mendaftar untuk menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini di 8,085 pusat peperiksaan di seluruh negara pada 11 hingga 14 dan 18 September ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah berkenaan, 433,536 adalah calon dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala baki 10,258 calon sekolah swasta.

Menurutnya, seramai 51,363 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

"Lembaga Peperiksaan ingin mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan UPSR 2017 untuk mendapatkan maklumat mengenai masa peperiksaan dan arahan yang patut dipatuhi.

"Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my," katanya.

Katanya, calon juga dikehendaki membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2017 @ 5:33 PM