Pokok tumbang menghempap rumah penduduk di Pekan Kupang. FOTO ihsan pembaca
Safuri Kamarudin


HUJAN lebat disusuli ribut kira-kira 30 minit di Mukim Kupang, Baling, hari ini, menyebabkan 50 rumah di beberapa kampung mengalami kerosakan.

Kampung itu ialah Kampung Banggol Chicar, Kampung Tengah Kupang, Lela, Tanah Periok, Tiak dan Pekan Kupang dan Pekan Kuala Pegang.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, kejadian 5 petang itu menyebabkan banyak pokok tumbang dan ada yang menimpa rumah penduduk serta kenderaan.

Bagaimanapun tidak ada kecederaan dilaporkan.

Mohd Faizol berkata, pemimpin tempatan diminta memantau dan membuat laporan mengenai kejadian yang berlaku bagi memudahkan bantuan disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 8:17 PM