Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Siasatan lanjut polis berhubung kes wanita yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam sebelum rahsianya menyembunyikan kelahiran terbongkar mendapati,mayat bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dibuang di celah-celah pasu bunga di tangga tingkat 11 apartment di Sungai Besi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, mayat bayi itu dibungkus dengan kertas putih A4 dan plastik.

"Teman lelaki wanita itu mengaku dia meletakkan mayat bayi berkenaan di celah-celah pasu bunga. Dia mengaku dia adalah bapa kepada bayi itu dan mereka tidak berkahwin.

"Pada 6 petang tadi, lelaki itu bawa pegawai penyiasat ke tempat mayat bayi dibuang, " katanya.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan wanita berusia 24 tahun itu mendapatkan rawatan di HKL kerana demam.

Kok Sin dipetik berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati wanita itu mempunyai tanda pernah melahirkan bayi.

"Dia kemudian mengaku melahirkan bayi pada 19 Julai lalu dengan anak yang lahir itu meninggal dunia kerana tidak cukup bulan.

"Ketika itu, kandungannya berusia tujuh bulan dan melahirkan bayi di rumah sewanya di Sungai Besi," katanya yang memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Demam jadi pembongkar rahsia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 11:06 PM