Hutan Bandar Putra di Kulai.
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Kulai dipilih sebagai destinasi penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 bertempat di Hutan Bandar Putra, Selasa ini.

Pegawai Daerah Kulai Md Za’nal Misran berkata, majlis penutup yang dijangka berlangsung jam 3.40 petang itu menyaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menyampaikan penghargaan kepada semua agensi yang terbabit dalam penganjuran KMJ kali ke-20 itu.

“Pengisian pada majlis penutup itu nanti lebih kepada penghargaan Sultan Ibrahim kepada semua agensi yang terbabit dalam KMJ tahun ini.

“Kami sedang melakukan persiapan rapi supaya acara penutup di lokasi terpilih berjalan lancar,” katanya.

Menurut Md Za’nal, sebelum ke destinasi akhir itu, kembara berkenaan singgah di FELDA Bukit Batu, Kulai jam 2 petang bagi menghadiri acara kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

Katanya, di persinggahan itu, semua usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di Kulai yang berpotensi untuk maju serta yang menerima bantuan kerajaan negeri akan mempamerkan produk mereka.

“Baginda akan ditunjukkan dengan pelbagai produk IKS yang dibangunkan di Kulai selain berkenan meluangkan masa mencuba sukan rakyat serta kebudayaan di daerah ini bersama anakanda baginda.

“Di sinilah peluang masyarakat bertemu lebih rapat dengan keluarga Diraja Johor yang selama ini banyak membantu dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Md Za’nal menjangkakan 3,000 turut serta di kedua-dua acara pada hari terakhir KMJ.

“Besar harapan kami untuk melihat masyarakat setempat turun beramai-ramai kerana ini saat yang dinantikan mereka.

“Kami tahu rakyat amat menunggu saat sebegini untuk mendekatkan diri dengan baginda dan keluarga diraja yang terkenal dengan sifat mesra,” katanya.

KMJ Ke-20 membabitkan jarak perjalanan 808 kilometer dengan lokasi persinggahannya membabitkan Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang, Segamat, Muar, Ledang, Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

Tahun ini, KMJ bertemakan ‘Menangani Gejala Sosial’ dan ‘Memperkasakan Industri Asas Tani’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 7:11 AM