SULTAN Johor, Sultan Ibrahim bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, memulakan KMJ di Dataran Bandaraya Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KEMBARA Mahkota Johor (KMJ) 2017 edisi ke-20 membuka tirai dengan menyaksikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, memandu kenderaan beroda tiga, Morgan pada Majlis Pelepasan KMJ 2017 di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

Majlis pelepasan rombongan diraja itu disempurnakan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, pada kira-kira 9 pagi.

Terdahulu kira-kira 5,000 warga bandar raya Johor Bahru, termasuk penduduk setempat dan pelajar membanjiri dataran berkenaan untuk menyaksikan majlis itu.

Keberangkatan tiba Sultan Johor dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan kerabat diraja disambut meriah.

Sultan dan Permairudi Johor diiringi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru, A Rahim Nin serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Lagu Bangsa Johor mengisi atur cara majlis sebelum diikuti bacaan doa Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin.

Ia disusuli ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kembara tahun ini mencatat sejarah apabila julung kali Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim menjelajah bersama suaminya, Dennis Muhammad Abdullah.

Turut serta Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail bersama isteri, Che€™ Puan Khaleeda Bustamam dan puteri sulung mereka, Tunku Khalsom Aminah Sofiah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 11:13 AM