Mustafa sidek sedang menyelamat tong gas ke tempat selamat apabila rumahnya di Kampung Sungai Limau di naiki air. FOTO Safuri Kamarudin
Paras air yang meningkat di kampung Sungai Limau. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


CUACA tidak menentu sejak akhir ini menyebabkan banjir kilat berlaku berterusan melanda rumah penduduk khususnya di Mukim Pulai, Baling hari ini.

Setakat jam 8 malam, 10 rumah penduduk di tiga kampung iaitu di Kampung Sirako, Kampung Charok Kelian Ulu dan Kampung Sungai Limau dinaiki air setinggi 0.5 meter petang tadi.

Difahamkan banjir kilat berlaku akibat hujan lebat selama dua jam sejak jam 4 petang dan 30 penduduk terjejas.

Penduduk, Mustafa Sidek, 23, dari Kampung Sungai Limau berkata, air naik dengan cepat sehingga keluarganya tidak dapat menyelamatkan barangan di dalam rumah yang berada di tempat rendah.

Katanya, hujan lebat di Bukit Sapi punca air bertakung dan masuk ke rumah penduduk.

"Saya tak sangka air banjir melimpah ke dalam rumah hingga ke dapur, selalunya di luar sahaja," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati ada penduduk bertungkus lumus menyelamatkan kenderaan termasuk motosikal daripada ditenggelami air.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya memantau teliti kejadian banjir itu dan agensi penyelamat diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 8:23 PM