Keadaan pokok kelapa sawit yang diserang ulat bulu di berhampiran kawasan Felda Wilayah Trolak. - Foto ROSMAN SHAMSUDIN
Rosman Shamsudin


LEBIH 5,000 hektar kelapa sawit di kawasan Felda Wilayah Trolak di Trolak, diancam ulat bulu yang dikhuatiri merosakkan hasil tanaman hingga menjejaskan pendapatan peneroka.

Pokok kelapa sawit yang diserang ulat bulu menjadi kering dalam tempoh seminggu dan mengambil masa setahun untuk dipulihkan sebelum boleh kembali mengeluarkan hasil.

Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata, masalah itu bukan saja berlaku di negeri ini malah di beberapa negeri lain dan perlu diatasi segera.

Mohd Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, dua kaedah akan dilakukan Felda bagi mengatasi serangan ulat bulu ini iaitu semburan udara dan suntikan ubat pada batang pokok.

“Saya akan membawa masalah ini dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah FELDA hujung bulan ini," katanya merasmikan Majlis Penutupan Program Motivasi Ibu Bapa di Dewan Semai Bakti FELDA Besout 1, Trolak, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak, Haidir Moin; Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Daerah Muallim, Saiful Bahrin Sulaiman dan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Zaidi Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 4:13 PM