Mohamed Hasnan (kiri) menyampaikan surat tawaran pembinaan RMR1M kepada Asnah di hadapan rumahnya yang musnah terbakar.
Mohamed Hasnan (kiri) menyampaikan surat tawaran pembinaan RMR1M kepada Asnah di hadapan rumahnya yang musnah terbakar.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seorang ibu tunggal mengalir air mata gembira bakal menerima sebuah rumah baru yang dijanjikan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bernilai RM65,000.

Rezeki tidak disangka itu diterima Asnah Mustafa, 64, selepas rumah lamanya berusia 39 tahun di Wakaf Che Yeh, di sini, musnah terbakar dua bulan lalu.

Musibah itu menyebabkan dia terpaksa menumpang di rumah anak dan adik beradiknya di Kuala Lumpur dan Pahang.

“Sejak kejadian, saya tidak lagi tinggal di sini dan menumpang rumah adik beradik serta anak-anak. Tapi hati saya sentiasa dekat di sini dan berharap dapat membaiki rumah segera.

“Alhamdulillah, saya bersyukur apabila SPNB hadir membantu dan dapatlah saya kembali ke rumah ini semula walaupun ia sudah berwajah baru nanti,” katanya ketika ditemui pada penyerahan surat tawaran dan dokumen perjanjian Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di tapak rumahnya di Kampung Baru, Wakaf Che Yeh di sini.

Surat tawaran dan dokumen perjanjian itu disampaikan Pengerusi SPNB Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, serta turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mesra Sdn Bhd Wan Azlan Wan Ab Rahman.

Harian Metro pada 15 Julai lalu melaporkan pemilik rumah berkenaan tiada di rumah kerana berada di Pahang ketika kebakaran berlaku.

Sementara itu, Mohamed Hasnan berkata, hasil semakan dan lawatan dilakukan pihaknya mendapati permohonan Asnah layak untuk dipertimbangkan dan kelulusan diberi untuk meringankan beban ditanggung.

“Nilai seunit rumah RMR1M yang akan dibina ialah RM65,000 dan diberi subsidi oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM20,000.

“Insya-Allah, SPNB akan melantik kontraktor dalam masa terdekat ini dan ia dijangka siap dalam tempoh tiga bulan sebelum kunci diserahkan kepadanya,” katanya.

Menurutnya, sehingga 31 Ogos lalu, SPNB melalui anak syarikatnya SPNB Mesra Sdn Bhd (MESRA) menerima 11,091 permohonan dari penduduk di Kelantan dan 6,783 permohonan diluluskan.

Daripada itu, 5,520 unit sudah disiapkan, 1,157 dalam proses pembinaan dan 106 masih di peringkat dokumentasi. Peruntukan keseluruhan RM422.12 juta.

“Jumlah keseluruhan permohonan di seluruh negara adalah 88,992 dan 47,344 unit diluluskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:48 AM