SEBAHAGIAN daripada peserta SHM 2017.
SEBAHAGIAN daripada peserta SHM 2017.
HM Digital

Seremban: Hujan renyai tidak menghalang 10,000 peserta untuk meneruskan saingan larian Seremban Half Marathon 2017 (SHM 2017), yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS), semalam.

Acara larian terbesar di negeri ini mencatat sejarah tersendiri apabila turut disertai peserta orang kurang upaya (OKU) selain warga emas berusia lebih 65 tahun dan pelajar.

Pengerusi pengelola Amy Chua Monk Yew berkata, ia adalah penyertaan paling ramai sejak program itu diadakan 30 tahun lalu.

Katanya, tiga kategori utama dipertandingkan iaitu terbuka, pelajar dan khas untuk OKU yang membabitkan larian 10 kilometer (km) dan 21 km.

“Larian kali ini dibuat sempena 30 tahun penganjurannya dan kami berpuas hati kerana bilangan penyertaan paling ramai berbanding tahun sebelumnya yang disertai antara 7,000 hingga 8,000 peserta.

“Ia sebahagian aktiviti amal yang mana hasil kutipan digunakan untuk membiayai bakat muda dalam beberapa acara sukan dan badan kebajikan iaitu Yayasan Tunku Naquiyuddin serta Yayasan Tunku Nurul Hayati,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah.

Mohd Helmi Azri Suhaimi mengungguli kategori lelaki terbuka sekali gus mengenepikan pencabar terdekat, R Rediakumar yang menduduki tempat kedua, manakala ketiga milik J Jason.

Kategori terbuka wanita pula menjadi milik J Paritta diikuti Lau He Yin di tempat kedua dan ketiga, Lau Sau Moon.

Bagi kategori pelajar lelaki dimenangi N Manickam, R Sider (kedua) dan S Thana (ketiga) manakala kategori perempuan dimenangi S Thanapatthy, P Acupria (kedua) dan S Jayanti (ketiga).

Penyampaian hadiah disempurnakan Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 9:50 AM