BENDERA negeri Kedah dikibarkan separuh tiang berikutan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah. FOTO Azhar Ramli
Aizat Sharif
mohd.aizat@hmetro.com.my


KERAJAAN negeri Kedah mengisytiharkan esok sebagai cuti kelepasan am di negeri itu susulan kemangkatan Sultan Kedah,Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, cuti berkenaan bagaimanapun tidak menghalang peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan berjalan seperti biasa.

"Tempoh berkabung selama seminggu bermula dari hari ini sehingga 17 September diisytiharkan dan dalam tempoh berkenaan semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan sama sekali.

"Selain itu juga, bendera negeri, persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media khas di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Tambahnya, jenazah baginda akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit, Alor Setar esok pada jam 10.30 pagi.

"Jenazah kemudian akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Baru, Istana Anak Bukit, Alor Setar untuk penghormatan terakhir bermula pada jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum dimakamkan di Makam DiRaja Langgar pada hari yang sama jam 4 petang.

"Jenazah baginda sebelum itu juga akan diiring melalui jalan utama di ALor Setar seperti di Lebuh Raya Darul Aman, Jalan Tun Razak, Jalan Langgar sebelum tiba di Makan DiRaja di Jalan Langgar," katanya.

Sultan Abdul Halim Mu'Adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit hari ini pada jam 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 7:49 PM