PENDUDUK kampung membantu mengeluarkan kenderaan mangsa dari sungai. FOTO Lano Lan / Gambar kecil, MANGSA diselamatkan penduduk kampung selepas kereta dipandunya dihanyutkan arus deras sungai di Kampung Poturidong, Kiulu. FOTO Lano Lan
Recqueal Raimi


SEORANG lelaki bernasib baik apabila sempat diselamatkan penduduk kampung selepas kenderaan dipandunya dihanyutkan arus deras ketika melalui jambatan di Kampung Poturidong, Kiulu, petang hari ini.

Dalam kejadian jam 5.35 petang itu, mangsa Pauloi @ Gudili Salagan, 50, yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Maktab Perguruaan Kent, Tuaran.

Ketika melalui jambatan berkenaan, kenderaan Toyota Hilux dipercayai tergelincir sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Mangsa yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di maktab berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Qawie Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.40 petang sebelum seorang tujuh anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati mangsa sudah diselamatkan beberapa penduduk kampung yang menyedari kejadian itu.

"Pasukan bomba bersama penduduk kampung kemudian membantu mengeluarkan kenderaan itu dari sungai menggunakan tali," katanya ketika dihubungi.

Qawie berkata, anggota bomba kemudian membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa lain yang terbabit.

"Operasi selesai pada jam 6.40 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2017 @ 8:26 PM