X
  RAHIMAH menunjukkan gambar dua anaknya yang kini dijaga suaminya di Sabah.
RAHIMAH menunjukkan gambar dua anaknya yang kini dijaga suaminya di Sabah.
Noor Azurin Mohd Sharif


Jasin: “Saya tak lena tidur memikirkan keadaan dua anak kerana merindui mereka saban hari walaupun suami ada mengirimkan gambar dan beritahu khabar mereka menggunakan telefon bimbit, tetapi tidak selalu kerana mereka tinggal di kawasan pendalaman.

“Anak saya yang lain turut mengalami keadaan sama termasuk merindui bapa mereka, sekali gus berharap ada pihak sudi membantu untuk menyatukan semula kami sekeluarga,” kata Rahimah Abd Rahman, 36.

Wanita itu kini berjauhan dengan dua anaknya iaitu Mohd Ikwan, 8, dan Siti Nor Ain, 6, yang dijaga suaminya, Jamri Asun, 41, seorang mualaf di Kampung Lotong, Kudat, Sabah kerana tidak dapat pulang ke Semenanjung berikutan tidak memiliki sijil lahir.

Menceritakan kisahnya, wanita itu berkata, tiga lagi anaknya iaitu Mohd Syafik, 14, Siti Aishah, 10, dan Siti Nuraminah, 4, kini tinggal bersamanya di Felcra Lembah Kesang, Merlimau, di sini, kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.

“Selepas 10 tahun tinggal di Sabah, saya bersama tiga lagi anak pulang ke kampung di Mersing, Johor pada 2015 kerana mahu menjaga arwah bapa yang kurang sihat ketika itu dengan meninggalkan Mohd Ikwan dan Siti Nor Ain bersama bapa mereka di sana (Kudat).

“Kegagalan mendaftarkan kelahiran anak (Mohd Ikwan dan Siti Nor Ain) ketika itu disebabkan kami mengalami masalah kewangan serius selain tinggal di pendalaman. Disebabkan tidak ada dokumen kelahiran menyebabkan sampai sekarang dua beradik itu belum bersekolah.

“Saya kini bercadang untuk pulang ke sana bagi menguruskan pendaftaran dua beradik itu tetapi pendapatan RM900 sebulan sebagai tukang cuci membataskan perancangan saya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya, di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai usaha dilakukan untuk membawa dua beradik berkenaan pulang ke Melaka termasuk ke jabatan berkaitan namun hampa kerana kerap menerima jawapan mengecewakan.

Katanya, dia tidak mungkin kembali menetap di Sabah kerana suaminya tiada kerja tetap selain peluang pekerjaan di perkampungan itu juga amat kurang.

Abang iparnya, Hazalan Mattob, 39, berkata, dia bersimpati dengan nasib menimpa Rahimah yang kerap merindui dua lagi anaknya.

Katanya, dia dan isterinya Roslina Abd Rahman, 38, turut merasai kepedihan ditanggung Rahimah selepas lebih setahun berjauhan dengan dua anak dan suami.

“Sebelum ini saya pernah dihubungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memaklumkan mereka mahu bantu selesaikan masalah itu tapi minta kami sediakan RM5,000 bagi tujuan itu.

“Manalah nak cari duit sebanyak itu, kami bukan orang senang. Harap ada pihak dengar rintihan adik ipar saya dan semoga impian dia untuk bersatu semula dengan dua anaknya dan suami menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 5:49 AM