PEGAWAI dan anggota tentera daripada 2 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Rejimen 503 serta Riffle Company Butterworth (RCB) dari Australia bergambar bersama. FOTO L Manimaran
Farah Suhaidah Othman


SERAMAI 315 anggota tentera Malaysia dan Australia menyertai latihan Eksesais Haringgaroo Siri 68 di Ipoh dan Sungai Siput selama 12 hari bermula semalam.

Ketua Staf Markas 2 Divisyen, Kolonel Mohd Adzahar Abd Latiff, latihan itu dijalankan Markas Briged Kedua Infantri membabitkan Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (RRD) dengan kerjasama Kompeni Tentera Infantri Australia (Rifle Company Butterworth) yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, latihan itu bukan sahaja sekadar kerjasama bilateral antara dua negara iaitu Malaysia dan Australia malah menjadi platform kepada kedua-dua negara bertukar pandangan serta pengalaman dalam bidang ketenteraan.

"Eksesais ini berperanan memberi pendedahan kepada anggota tentera kedua-dua negara dengan penekanan aspek operasi melawan di hutan dan aspek ketenteraan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Eksesais Haringgaroo Siri 68/2017 di Padang Kawad Dua RRD, Kem Syed Putra di Ipoh, hari ini.

Upacara perasmian itu disempurnakan Komander Divisyen 1 Australia, Mejar Jeneral Paul McLachan.

Sementara itu, McLachan berkata, kerjasama menerusi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) yang memasuki siri ke-68 itu terus dijalankan bagi memperkukuhkan keamanan di rantau Asia.

"Setiap negara berhadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan dan menerusi jalinan kerjasama ini, saya yakin dapat memperkukuhkan latihan ketenteraan dengan bertukar-tukar taktik dan fahaman berdasarkan pengalaman masing-masing.

"Contohnya, pasukan tentera dari Dua RRD mempunyai kepakaran dalam operasi di dalam hutan dan kepakaran itu kami tiada, justeru eksesais ini dapat memberikan kami pengalaman baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 4:18 PM