KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI berusia 28 tahun maut selepas kenderaan dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 22.7, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Pusat Bandar Puchong, kira-kira jam 6 pagi, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.44 pagi.

"Seramai enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapati berlaku kebakaran kecil di bahagian enjin kereta berkenaan yang berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian.

"Mangsa yang juga pemandu kereta terbabit, Lim Ji Qin disahkan maut di lokasi kejadian, manakala rakannya, Tan Zi Xuan, 27, parah," katanya.

Mohd Sani berkata, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 10:44 AM