Che Amrol maut selepas dilanggar lari di Kilometer 2.8, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), dekat Subang Jaya, tengah hari semalam. FOTO ihsan PDRM
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my

PENUNGGANG motosikal maut selepas dirempuh kereta di Kilometer 2.8, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), dekat Subang Jaya, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, pemandu kereta yang melanggar Che Amrol Abu Bakar, 32, melarikan diri dari lokasi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Mohamad Azlin Sadari berkata, mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya menghala ke Subang sebelum dirempuh kereta dari arah belakang.

"Rempuhan menyebabkan mangsa terpelanting ke tengah jalan sebelum disahkan meninggal dunia.

"Jenazah mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan kerana kenderaan yang merempuh mangsa beredar dari lokasi sejurus kejadian.

"Orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 0378627093 atau pegawai penyiasat Inspektor Mohd Qushairi Ramli 017433914," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 1:58 AM