ANGGOTA bomba membantu membawa keluar murid yang menduduki peperiksaan UPSR menaiki bot. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


SERAMAI 17 calon yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diberi bantuan untuk ke sekolah masing-masing selepas kediaman mereka dinaiki banjir di beberapa kawasan di Tawau, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari Kampung Pasir Putih membabitkan kawasan blok A dan blok B sekitar jam 4.44 pagi dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Anggota bomba bertungkus lumus membantu mengeluarkan 10 calon UPSR dengan menaiki sampan kerana paras air tinggi, sukar dilalui oleh mereka.

"Seorang lagi calon UPSR yang tinggal di Batu 2 Jalan Bunga Raya turut dibantu oleh anggota bomba, " katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sharudy berkata, hasil pemantauan pihak bomba, beberapa kawasan di Tawau turut terjejas banjir iaitu Kampung Vietnam dan Batu 22 Jalan Apas.

"Hasil maklumat dari Pegawai Pendidikan Daerah, enam lagi calon UPSR yang turut terbabit dalam banjir di beberapa kawasan dibantu oleh ibu bapa dan guru untuk tiba ke sekolah masing-masing.

"Bagaimanapun,tidak ada operasi pemindahan dilakukan setakat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 11:49 AM