PEKEBUN bunga kekwa di Cameron Highlands dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merasuah seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua tahun lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
rnorain@hmetro.com.my


PEKEBUN bunga kekwa di Cameron Highlands dipenjara sehari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kuantan atas kesalahan memberi suapan kepada Pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua tahun lalu.

Tertuduh, Chin Peng, 49, dari Ringlet, Cameron Highlands membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Mengikut kertas pertuduhan, Chin Peng didakwa memberi rasuah RM2,000 kepada Sanifah Yusof supaya tidak ambil tindakan ke atasnya yang mengusahakan kebun secara haram di Hutan Simpan Ringlet.

Tertuduh melakukan kesalahan itu pada 10 April 2015 jam 9.15 pagi di Vintage Tea Lounge, Hotel Heritage.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Fadly Mohd Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Simon Evanson.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 12:43 PM