PENJUAL burger didakwa di Mahkamah Sesyen merogol dua anak kandungnya. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Ibrahim Isa
ibrahim@hmetro.com.my


SEORANG penjual burger didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas 12 pertuduhan merogol dua anaknya bermula 2013 hingga Ogos lalu.

Tertuduh berusia 48, didakwa merogol anaknya ketika berusia 15 tahun bermula awal 2013 dan seorang lagi anaknya berusia 13 tahun pada 2016 di rumah mereka di flat Taman Ungku Tun Aminah.

Tertuduh mengangguk faham apabila semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dan mengaku tidak bersalah.

Hakim Muhammad Khalid Ab Karim kemudiannya menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan menasihatkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan atas 12 kesalahan ke atas kedua-dua anaknya itu kerana sumbang mahram.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun bagi setiap pertuduhan dan sebat.

Selain itu, lelaki itu turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 ke atas anaknya berusia 13 tahun kerana serangan seksual bukan fizikal.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda sehingga RM20,000.

Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dengan alasan boleh mengganggu mangsa dan hubungan mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 12:53 PM