PENGARAH Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Abd Razak Sallim (tiga dari kiri), menyerahkan dokumen kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Sazali Sabli pada Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Kota Kinabalu. FOTO Edmund Samunting
Fardy Bungga
am@hmetro.com.my


SERAMAI 500 kakitangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Majlis menzahirkan komitmen itu turut disertai Pengarah Urusan SESB, Ir Abd Razak Sallim yang melafaz dan menandatangani IBR berkenaan sambil disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah Datuk Sazali Salbi di Dewan Wisma SESB, Kota Kinabalu, hari ini.

Abd Razak berkata, ikrar yang ditandatangani ini adalah sokongan dan komitmen berterusan untuk menjadikan SESB bebas daripada dibelenggu jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, pihaknya sangat menitikberatkan isu integriti dalam penyampaian perkhidmatan untuk memastikan SESB terus cemerlang kepada pelanggan dan masyarakat.

"Kita berharap ini akan menjadi titik permulaan untuk warga SESB berganding bahu membanteras gejala rasuah.

"Kita tidak akan teragak-agak menghadapkan mana-mana warga kerja yang terbabit dalam gejala rasuah ke muka pengadilan bagi memastikan agensi ini terus berdaya saing demi meningkatkan keyakinan masyarakat kepada SESB," katanya.

Menurutnya, IBR akan dilakukan kepada seluruh warga kerja SESB merangkumi 3,200 kakitangan secara berperingkat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi berkata, setakat ini sebanyak 54 agensi yang sudah melakukan IBR di negeri ini.

Katanya, usaha membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab SPRM semata-mata tetapi semua pihak harus memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan jenayah rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung hingga ke akar umbi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:04 PM