PENTERNAK lembu dibawa ke Mahkamah Majistret Segamat untuk menghadapi pertuduhan membunuh seorang penjual daging. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@harianmetro.com.my


SEORANG penternak lembu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Segamat hari ini atas tuduhan membunuh seorang penjual daging di Felda Chemplak, 31 Ogos lalu.

Shahril Tamsir, 45, dituduh melakukan perbuatan itu ke atas Ahmad Radzi Jamaludin, 40, di alamat No. 3, Jalan Ubi, Felda Chemplak kira-kira 7.30 pagi.

Tertuduh dilihat hanya menunduk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Juliana Jaffar dan tiada pengakuan direkodkan.

Shahril dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Helmaterlidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan 10 Oktober ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 2:39 PM