Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Rahman Putra Taha (duadari kanan) menyerahkan Ikrar Bebas Rasuah kepada Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Junipah Wandi (dua, kiri) pada majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2017 di Jabatan Insolvensi. FOTO BERNAMA
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


JABATAN Insolvensi Malaysia (MdI) jangka lebih banyak kes bankrap dapat diselesaikan setiap tahun sebaik Akta Insolvensi 2016 dikuatkuasakan sepenuhnya bulan depan.

Ketua Pengarah MdI Datuk Abdul Rahman Putra Taha berkata, pihaknya menganggarkan hampir 20,000 kes bankrap direkodkan setiap tahun dengan keseluruhan 294,000 kes bankrap terkumpul setakat ini.

Beliau berkata, menerusi Akta Insolvensi 2016, beberapa perubahan dasar seperti nilai minimum kebankrapan dinaikkan kepada RM50,000 selain seseorang yang bankrap boleh dilepaskan awal daripada status kebankrapan selepas tempoh tiga tahun dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal, berbanding lima tahun sebelum ini.

"Dalam akta berkenaan, terdapat lapan perubahan dasar dibuat pada akta sedia ada iaitu penjamin sosial tidak boleh dibankrapkan, notis petisyen atau kebankrapan disampaikan secara kendiri, mekanisme penyelamat, nilai minima kebankrapan dinaikkan, pelepasan automatik, pelepasan bankrap tanpa bantahan pemiutang, sistem satu perintah kebankrapan dan tabung bantuan insolvensi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis penutup sambutan bulan kemerdekaan dan taklimat Akta Insolvensi 2016 (Akta A1534) di sini, hari ini.

Katanya, MdI sudah menyediakan beberapa mekanisme untuk membantu individu bankrap keluar daripada status bankrap.

Abdul Rahman berkata, pihaknya turut mengadakan jelajah di setiap negeri bagi memberi taklimat terperinci kepada individu bankrap dan orang awam mengenai akta baru berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 5:39 PM