PENGETUA MadrasahTaufikiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya, Azizah Yahaya menunjukkan galeri kejadian kebakaran meragut 27 nyawa dalam tragedi 22 September 1989. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


“SAYA bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat, yang terkorban di mana kejadian ini menyebabkan saya teringat kembali situasi sama berlaku di sekolah ini,” kata Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya, Azizah Yahaya, 74.

Dalam kejadian 22 September 1989 itu, sebanyak lapan blok asrama yang dibina daripada papan musnah dalam kebakaran itu yang menempatkan 600 pelajar ketika itu di mana kebakaran dipercayai bermula dari blok E sebelum merebak cepat ke tujuh asrama lain iaitu blok A, B, C, D, F, G dan H mengorbakan 27 pelajar.

Azizah berkata, sejak kejadian itu, pihak pengurusan sekolah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak berulang kembali malah tapak asrama pelajar perempuan yang musnah dalam tragedi kebakaran 28 tahun lalu, dibina semula sebagai dewan utama.

Menurutnya, seramai 573 pelajar iaitu 291 perempuan dan 282 lelaki belajar di sekolah ini ketika ini di mana selepas tragedi itu, semua bangunan kayu sekolah ini termasuk asrama, kelas, pejabat dan kantin diganti hasil bantuan Kerajaan Persekutuan, negeri dan orang ramai.

“Selepas kejadian itu, pengurusan sekolah mengambil langkah berjaga-jaga dalam soal keselamatan bagi menggelak kejadian sama berulang.

“Kami juga sering berhubung dengan pihak bomba dan mewujudkan skuad bomba sekolah pondok dalam usaha menjaga keselamatan asrama pelajar di sini,” katanya ketika ditemui di SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Yan, di sini, hari ini.

Azizah yang juga anak kepada pengasas Pondok Pak Ya, Yahya Junid berkata, bangunan sekarang semua konkrit dan pelajar juga sudah tidak dibenarkan memasak di dalam asrama bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Keadaan asrama pelajar juga perlu selalu dipantau termasuk melihat suis yang perlu dijaga supaya tidak berlaku lintar pintas sehingga menyebabkan kebakaran.

“Selain membina asrama yang lebih baik untuk pelajar, kamijuga mengajar mereka langkah keselamatan yang perludiikuti jika berlaku kebakaran,” katanya.

Sementara itu, bekas pelajar yang terselamat dan kini mengajar mata pelajaran Sejarah di SMA Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Siti Jamilah Mohd Hassan, 41, berkata, ketika itu dia berusia 13 tahun dan baru pulang ke asrama selepas Qiamullail.

“Saya ketika itu baru hendak tidur sebelum kakak-kakak (pelajar senior) terlihat api marak di asrama tempat kami tinggal.

“Kami kemudian terus berlari keluar dan berjaya menyelamatkan diri sebelum berlindung di rumah jiran bersebelahan sekolah,” katanya.

Jamilah berkata, walaupun trauma dengan kejadian itu, namun dia akhirnya kembali semula ke sini menabur bakti sejak tujuh tahun lalu.

“Masa mula mengajar di sini saya tidak sanggup untuk melihat tapak bangunan surau dan tapak asrama yang terbakar itu kerana masih trauma,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 6:58 PM