MUHAMMAD Zulkifli bersama keluarga di rumah mereka yang usang di Kampung Pasir Garam, Beserah.
MUHAMMAD Zulkifli bersama keluarga di rumah mereka yang usang di Kampung Pasir Garam, Beserah.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Tiada siapa mahu tinggal di rumah usang yang tidak selesa dan serba kekurangan namun itu pilihan yang terpaksa diambil Muhammad Zulkifli Harun, 29, akibat desakan hidup dihadapinya.

Dengan pendapatan RM40 sehari sebagai pemandu lori, dia tidak mampu membina rumah yang selesa untuk didiami isteri, Nurul Asyikin Yunus, 25, dan serta dua anaknya berusia lima dan dua tahun.

Muhammad Zulkifli berkata, dia sudah mendiami rumah dibina di atas tanah milik keluarganya di Kampung Pasir Garam, Beserah, di sini, itu sejak empat tahun lalu.

“Saya bukan tidak mahu menyewa di rumah lain tetapi tidak mampu membayar sewa. Rumah ini dibina di atas tanah milik keluarga jadi saya tidak perlu membayar sewa.

“Gaji yang saya dapat sebagai pemandu lori ikan tidak seberapa, saya perlu menyediakan keperluan keluarga memandangkan isteri dan anak hanya bergantung kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Menurutnya, rumah itu dibina atas kudratnya sendiri dengan menggunakan papan atau bahan binaan terbuang.

“Ada juga individu yang memberi sumbangan bahan binaan dan saya membinanya sedikit demi sedikit. Struktur rumah ini tidaklah sempurna kerana saya pun tidak mempunyai kepakaran,” katanya.

Katanya, walaupun rumah itu sudah usang, dia tetap bersyukur kerana ada tempat untuk berlindung daripada panas dan hujan, sekurang-kurangnya isteri serta anaknya tidak hidup merempat.

Sementara itu, Ketua Kampung Darat Beserah, Hassan Setapa, 68, berkata, kesusahan yang dihadapi keluarga ini sudah dibawa ke peringkat atasan namun tiada sebarang bantuan dihulurkan.

“Saya dimaklumkan tiada bajet untuk peruntukan membina rumah baru untuk Muhammad Zulkifli,” katanya.

Justeru, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban Muhammad Zulkifli boleh menghubunginya di talian 018-9152755.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 6:37 AM