Azham Shah (dua dari kiri) menunjukkan rampasan daun dan air ketum.
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


Jempol: Empat lelaki yang sedang minum air ketum ditahan selepas polis menyerbu sebuah rumah di FELDA Lui Selatan Dua, di sini, kelmarin.

Keempat-empat lelaki berusia antara 23 hingga 58 tahun yang juga pengedar air berkenaan ditahan sebaik polis menyerbu rumah itu pada jam 12.30 tengah hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, dalam serbuan itu, semua suspek dipercayai baru selesai membungkus air ketum untuk dijual di sekitar tanah rancangan berkenaan.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek memberi alasan minum air ketum untuk menambah kekuatan kerana bekerja di ladang berdekatan.

“Pemeriksaan dalam bilik menemui 13 bungkus plastik air ketum seberat 16.25 liter serta dua botol mengandungi air ketum seberat 2.5 liter. Turut ditemui guni berisi daun ketum seberat satu kilogram.

“Polis kemudian membuat pemeriksaan dalam sebuah kereta Proton Wira milik suspek dan menjumpai 144 botol dipercayai ubat batuk dan 132 bungkus plastik berisi air ketum seberat 165 liter,” katanya.

Azham Shah berkata, polis tidak menolak kemungkinan air ketum itu dijual suspek di sekitar tanah rancangan FELDA berkenaan dan kawasan berhampiran.

“Semua barangan rampasan bernilai RM2,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya sambil memaklumkan suspek akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 6:59 AM