ANTARA balak yang dirampas dalam operasi semalam. IHSAN Polis Diraja Malaysia
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) rampas 336 balak, lori dan jentera di hutan Ulu Tuah, Jalan Nibong Tada-Kanowit, di Kanowit.

Jumlah rampasan pula bernilai RM597,500 manakala serbuan dilakukan pada 11.45 pagi semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata pemeriksaan lanjut mendapati kawasan itu dijadikan kem pembalakan.

Menurutnya, semakan lanjut mendedahkan lesen membalak dimiliki syarikat itu yang dikeluarkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) sudah tamat.

"Syarikat berkenaan masih beroperasi dengan menebang balak walaupun lesen sudah tamat. Mereka dianggap membalak secara haram.

"Semua balak dirampas kerana ditebang secara haram. Lori dan jentera untuk aktiviti itu juga dirampas," katanya di Kuching, hari ini.

Salehuddin berkata, kejayaan operasi adalah hasil perkongsian maklumat antara PPM dan JHS menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, semua rampasan diserahkan kepada JHS untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 12:14 PM