LRA Simpang Renggam ditutup Jun dan Ogos lalu kerana pencemaran ammonia pada sumber air mentah di Sungai Benut, Sungai Sembrong Kiri dan Sungai Johor.
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Sekitar Jun dan Ogos lalu, media melaporkan mengenai pencemaran ammonia di negeri ini iaitu di Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam disebabkan bacaan ammonia tinggi pada sumber air mentah di Sungai Benut selain pencemaran bahan kimia sama di Sungai Sembrong Kiri dan Sungai Johor.

Lantas, orang ramai selain pihak berkuasa memberi reaksi terhadap punca dan kesan pencemaran berkenaan yang menyebabkan ratusan ribu pengguna terjejas apabila bekalan air dihentikan dan bekalan air berjadual diperkenalkan.

Dalam reaksinya, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, Pihak Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) sudah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pencemaran ammonia di Sungai Sembrong Kiri dan Sungai Johor yang berlaku Ogos lalu.

Beliau berkata, bagi kes pencemaran ammonia di Sungai Sembrong Kiri, BAKAJ tidak dapat mengenal pasti punca pencemaran dengan tepat kerana ketika siasatan dijalankan tiada pengeluaran effluen daripada mana-mana punca yang berkaitan.

“Bagaimanapun, BAKAJ mengenal pasti beberapa aktiviti yang berkemungkinan menyebabkan pencemaran sungai berkenaan antaranya terdapat aktiviti ladang ternakan ayam dan dua kilang sawit yang terletak di hulu Sungai Sembrong Kiri.

“BAKAJ sudah mengarahkan premis berkenaan untuk menambah baik sistem rawatan kumbahan mereka termasuk menutup parit yang berpotensi mengalirkan effluen ke Sungai Sembrong Kiri,” katanya.

Hasni berkata, bagi kes pencemaran di Sungai Johor, hasil siasatan BAKAJ bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan SAJ Ranhill mendapati punca pencemaran adalah daripada kilang memproses baja najis ayam yang terletak berhampiran Kampung Murni Jaya, Kulai.

“Pentadbir Tanah Daerah Kulai sudah mengambil tindakan dengan mengeluarkan Notis 7A kepada pemilik tanah bagi memulihkan syarat tanah manakala JAS mengeluarkan notis arahan pembaikan kepada pemilik premis,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, kerajaan negeri melalui BAKAJ juga akan melaksanakan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Sungai Johor yang mana pada peringkat permulaan satu kajian dijalankan bagi mengenal pasti serta merekodkan punca pencemaran yang terdapat di dalam lembangan Sungai Johor.

“Kajian berkenaan merangkumi penentuan kadar pelepasan bahan pencemar yang boleh dilepaskan di Sungai Johor bagi tujuan mengawal pencemaran serta meningkatkan kualiti air di Sungai Johor.

“Kajian berkenaan akan dilaksanakan tahun ini dan pelaksanaan IRBM Sungai Johor bermula September ini,” katanya.

Beliau berkata, pada suku ketiga tahun ini, BAKAJ akan memasang tiga alat pemantauan kualiti air di Sungai Johor bagi memantau pencemaran serta sebagai amaran awal kepada pihak loji rawatan air SAJ Ranhill untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta tindakan awal bagi mengelakkan gangguan lebih teruk kepada operasi rawatan loji air.

“Pada masa ini, BAKAJ selain agensi berkaitan seperti JAS, Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sentiasa melaksanakan aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala terhadap mana-mana aktiviti yang didapati berpotensi mencemarkan Sungai Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 10:54 AM