Muhammad Khudzairi diiringi pegawai SPRM ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein


BEKAS Pembantu Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor Bahru dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas tiga pertuduhan memalsukan dokumen dan dua pertuduhan menipu dalam permohonan kad pengenalan, antara dua hingga lima tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Khudzairi Fitri Hussien, 36, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memalsukan Surat Permohonan Gantian Lewat Kad Pengenalan atas nama Muhammad Ismail Tumiran dan Muhammad Saefful Tumiran dengan niat untuk membuatkan kedua-dua lelaki itu masing-masing membayar RM1,000 kepadanya untuk urusan permohonan gantian lewat kad pengenalan.

Pertuduhan ketiga pula, tertuduh yang berhenti kerja pada 1 Disember 2016 itu didakwa memalsukan Surat Akuan Penahanan Dokumen JPN Akta Pendaftaran Negera 1959 Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001) dengan niat menyebabkan Musa Absin menyerahkan RM2,000 untuk urusan membuat kad pengenalan dan pembaharuan kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) milik lelaki itu.

Semua perbuatan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Taman Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru, pada 24 Jun 2012 dan 26 Februari 2013.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh yang kini bekerja sebagai tukang cuci di Singapura itu didakwa menipu Misriah Khalilludin dengan memperdaya wanita itu untuk percaya bahawa proses permohonan kad pengenalan boleh diproses olehnya dengan bayaran RM300 dan RM150 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di Tingkat 1, JPN, Kompleks KDN, Taman Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru, pada 2 petang dan di sebuah rumah di Kampunh Sinaran Baru, Maju Jaya, Johor Bahru, pada 6.30 petang, awal Mac 2015.

Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyarina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam Nor Afiqah Hambali.

Mahkamah kemudian menetapkan esok bagi sebutan semula kes untuk urusan tawaran jaminan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 1:37 PM