NORAZAM memeriksa keselamatan bilik asrama sekolah agama pada 15 September lalu. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


JABATAN Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan akan mengeluarkan notis kepada pusat tahfiz di Seremban, untuk mengosongkan asrama pelajar buat sementara, sehingga aspek keselamatan dipatuhi.

Pengarahnya Norazam Khamis berkata, notis akan dikeluarkan minggu ini, susulan pemeriksaan mengejut yang dilakukan pihaknya di asrama berkenaan, pada Jumaat lalu.

"Kita mengarahkan pihak pengurusan memindahkan pelajar ke premis lain yang lebih selamat.

"Pihak pengurusan diarah supaya mematuhi notis memastikan asrama itu selamat, sebelum kita boleh memberikan kebenaran untuk digunakan semula," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ketika pemeriksaan mengejut dilakukan, pihaknya mendapati warden dan pelajar tidak mengetahui tempat penyimpanan kunci pintu kecemasan selain bilik terlalu sempit serta lampu kecemasan tidak berfungsi.

Selain itu, Norazam berkata, kebanyakan pengendali pusat tahfiz di negeri ini, kurang kesedaran mengenai aspek keselamatan dan tidak memahami prosedur yang membolehkan bangunan dijadikan asrama.

"Kebanyakan pemilik pusat tahfiz atau madrasah kecil yang mempunyai bilangan pelajar tidak ramai, berkemungkinan kurang memberi perhatian terhadap aspek keselamatan kebakaran.

"Ada juga pemilik yang tidak begitu memahami prosedur yang memerlukan mereka mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk membolehkan bangunan dijadikan asrama," katanya.

Tambahnya, pihaknya akan terus membuat lawatan dan bertemu pemilik untuk memberi nasihat mengenai peraturan keselamatan kebakaran.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan akan mula memeriksa 31 pusat tahfiz di negeri ini, bagi meningkatkan tahap keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 2:16 AM