LEING Chee Kae (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ipoh. FOTO Effendy Rashid
LEING Chee Kae (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ipoh. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI menghadapi enam pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Ipoh, hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk cubaan membunuh pegawai dan anggota polis, 15 September lalu.

Tertuduh Leong Chee Kae, 45, didakwa dengan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh atas kesalahan cubaan membunuh, mengugut, mencederakan, memaki hamun dan menghalang polis menjalankan tugas kira-kira 11 malam di rumah di Taman Tasek Jaya, Ipoh.

Bagi tuduhan pertama, Chee Kae didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cuba membunuh dua pegawai dan tiga anggota polis yang cuba menahannya dengan menyimbah cecair dipercayai minyak tanah serta kemudian cuba melempar lilin yang menyala ke arah mereka.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat ugutan ingin membakar pegawai polis jika dia ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 506 KK.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 324 KK kerana mencederakan seorang anggota polis dengan menggunakan pisau pemotong daging.

Chee Kae kemudian turut didakwa mengikut Seksyen 186 KK kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan terhadap anggota polis.

Terdahulu di Mahkamah Majistret, dia didakwa dengan satu pertuduhan mengikut Seksyen 324 KK kerana mencederakan lelaki dengan parang di kedai kopi di Taman Klebang Restu, Ipoh jam 3 petang pada tarikh sama.

Tertuduh yang diwakili peguam Chiang Mei Wan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap keenam-enam pertuduhan yang dihadapi dan minta dibicarakan.

Pertuduhan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusuf di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Pihak pembelaan kemudian memohon mahkamah membenarkan Chee Kae menjalani pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan kerana keluarga mendakwa tertuduh mempunyai rekod kesihatan mental.

Norashima kemudian mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dan menetapkan 16 Oktober ini sebagai sebutan semula kes serta laporan kesihatan mental tertuduh.

Pada 15 September lalu, polis menerima maklumat mengenai kes pergaduhan antara suspek dengan seorang lelaki dan susulan itu pihak polis menjalankan serbuan di rumah suspek untuk membuat tangkapan.

Bagaimanapun suspek bertindak mengunci rumah sebelum polis memecah masuk, namun suspek menyimbah polis dengan cecair dipercayai minyak tanah dan cuba membakar dengan lilin menyala.

Ketika cuba ditangkap suspek turut bertindak mencederakan Lans Koperal A Puvandra dengan menggunakan pisau pemotong daging hingga polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai kaki kanan suspek.

Keterangan gambar:

Pix 1: LEONG CHEE KAE didakwa dengan enam pertuduhan termasuk cuba membunuh pegawai dan anggota polis yang ingin menahannya. Gambar Effendy Rashid

Pix 2: LEONG CHEE KAE cedera di kaki kanan akibat ditembak polis kerana dipercayai cuba menbunuh polis yang ingin menangkapnya. Gambar Effendy Rashid

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 7:15 PM
Kabinet Malaysia 2020