Nabihah Kamal


SEBANYAK 80 peratus penagih remaja mencuba ganja sebelum terpengaruh dengan dadah lebih 'kick' seperti syabu dan heroin.

Ketua Penolong Pengarah Kesedaran Awam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hafidah [email protected] berkata, pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama kepada statistik penagihan dalam kalangan remaja kini.

"Terdapat tiga faktor iaitu yang pertama adalah pengaruh rakan sebaya, perasaan ingin tahun serta untuk merasai keseronokan.

"Kebanyakan penagih remaja yang berusia antara 13 hingga 17 ini, mereka mula terjebak dengan dadah lebih ‘kick’ selepas mencuba ganja," katanya.

Menurut Hafidah, bagi permulaan, jarang didapati remaja terbabit terus mendapatkan dadah yang mempunyai kesan yang kuat seperti syabu.

"Remaja yang ingin mencuba dadah akan mengambil ganja sebelum mula berani mencuba dadah lebih kuat kesannya seperti syabu.

"Kesan dadah sintetik seperti syabu dan heroin akan dapat dirasai dalam tempoh tiga hingga lima minit saja," katanya.

Hafidah berkata, pada 2016, pihaknya menahan 1,620 remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun yang menghisap dadah.

"Daripada 30,844 tangkapan, remaja menyumbang lima peratus kepada indeks tangkapan yang dibuat oleh AADK," katanya.

Menurutnya, kebanyakan yang ditahan mengalami masalah tekanan kerana institusi kekeluargaan yang rapuh.

"Kebanyakan penagih remaja ini tidak mendapat perhatian yang mencukupnya daripada keluarga terutama ibu bapa dan kebanyakan ibu bapa mereka sudah bercerai," katanya.

Menurut Hafidah, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh AADK untuk memerangi dadah dalam kalangan remaja.

"Pelbagai kempen dan pendidikan khas untuk menerangkan bahayanya dadah dilakukan di sekolah terutama di kawasan 'hotpsot'.

"Antara kawasan 'hotspot' penagihan dadah di sekitar Kuala Lumpur adalah Bandar Cheras, Sungai Besi, Pantai Dalam dan Salak Selatan," katanya.

Menurutnya, dia menyeru ibu bapa supaya sentiasa peka serta memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dengan najis dadah.

Sebelum ini, enam daripada tujuh suspek kes bakar asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, positif ganja.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 12:58 AM