DR Aishah (dua kanan) menunjukkan pamplet seminar di sidang media di Bangunan Umno Selangor.
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Akta khas perlu diwujudkan bagi membolehkan ibu bapa yang cuai dalam menjaga anak didakwa di mahkamah.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kasih (KASIH) Selangor Puan Sri Dr Aishah Salleh berkata, kerajaan khususnya perlu menilai semula sama ada akta sedia ada mampu membendung masalah juvana yang dilihat semakin bertambah serius jika tiada tindakan dilakukan.

Menurutnya, bukan mahu menyalahkan ibu bapa sepenuhnya namun antara punca kelakuan jenayah yang dilakukan kanak-kanak disebabkan kelonggaran didikan serta pantauan penjaga di rumah.

“Kita perlu lihat undang-undang negara luar seperti Sweden yang mengenakan hukuman penjara kepada rakyat mereka yang didapati bersalah memukul anak.

“Begitu juga jika didapati mereka meninggalkan anak seorang diri di rumah, itu pun sudah boleh didakwa,. Sudah tiba masanya untuk kita melakukan perkara sama,” katanya pada sidang media sempena pengumuman program Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tragedi mengorbankan 23 pelajar dan warden pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Khamis lalu.

Beliau berkata, ibu bapa yang berkerjaya tidak boleh menjadikan alasan sibuk bekerja sebagai halangan mengawal dan memantau pergerakan anak-anak.

“Ibu bapa tetap perlu memerhati tingkah laku anak, ambil tahu ke mana mereka pergi dan dengan siapa mereka berkawan. Kena tahu mana mereka pergi selepas balik sekolah.

“Jangan biarkan anak salah memilih kawan. Ini akan menjadi punca mereka terbabit dengan penagihan dadah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, resolusi yang diperoleh pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak anjuran KASIH Selangor pada 28 September ini akan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dr Aishah berkata, seminar berkenaan juga bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai berkenaan jenayah seksual serta cara melindungi kanak-kanak daripada jenayah itu.

“Jika kita lihat, kempen kesedaran ini tidak dijalankan secara berterusan. Sebab itu kita mahu semua masyarakat peka dengan perkara ini.

“Jenayah seksual membabitkan kanak-kanak semakin meningkat. Berdasarkan statistik, 571 kes termasuk sumbang mahram dilaporkan berlaku tiga bulan pertama tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 2:59 AM