Mazlan (kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dari tahun 1994 hingga 2014. FOTO Roslin Mat Tahir
Fuad Hadinata Yaacob


POLIS Selangor merampas dadah bernilai RM73.3 juta dari Januari hingga Ogos lalu dengan menahan 12,931 orang.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, daripada jumlah itu 584 orang sudah didakwa mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga pihaknya menahan 226 pelajar dan penuntut kolej serta universiti, 77 penjawat awam serta 817 warga asing yang terbabit dengan dadah.

"Mereka didapati terbabit dengan dadah jenis heroin, ganja, methamphetamine dan diazepam.

"Selain itu kita turut menahan 170 pengedar dadah," katanya pada sidang media Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Selangor hari ini.

Pada majlis itu 176 barang kes membabitkan dadah bernilai RM23.7 juta hasil rampasan dari 1990 hingga 2014 dilupuskan.

Mazlan berkata, pelupusan itu dilakukan kontraktor bertauliah dan profesional di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pelupusan itu adalah fasa kedua selepas fasa pertama dilakukan pada Januari lalu membabitkan 3,206 barang kes bernilai RM4.5 juta.

"Dadah yang dilupuskan ini adalah jenis heroin, ganja, morfin, methamphetamine dan diazepam.

"Ia termasuk mesin memproses dadah jenis ectasy," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 1:53 PM