Sarah Zulkifli


LELAKI, Tunku Alang Reza Tunku Ibrahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tiga tuduhan iaitu menghisap dan memiliki syabu (methamphetamine) serta ganja (kanabis) di kondominium di Damansara Perdana, di Petaling Jaya, Jun lalu.

Tertuduh berusia 31 tahun itu membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menggunakan syabu di Balai Polis Bandar Utama, Petaling Jaya pada 2.20 pagi 4 Jun lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta dan Seksyen 38B akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali dan diwajibkan selama dua tahun pengawasan polis, jika disabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis ganja seberat 0.9 gram dan syabu 0.15 gram di kondominium di Damansara Perdana, Petaling Jaya, 12 tengah hari pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca mengikut Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama iaitu memiliki ganja dan syabu, Puteri Nur Zawani Mohd Rasid, 33.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsaalna Zainal Abidin menawarkan RM5,000 dengan seorang bagi setiap pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan mereka masih dalam jaminan polis dan tiada niat untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan Tunku Alang Reza diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan Puteri Nur Zawani RM3,000 serta menetapkan 31 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 4:15 PM