Hadzlihady Hassan


SERAMAI 25 individu dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini, kerana memiliki dadah Ahad lalu.

Lapan daripada mereka adalah remaja bawah umur.

Bagaimanapun, hanya seorang tertuduh, Tan Ming Lhek, 20, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Diane Nigrat Nor Azahar, sementara 24 tertuduh lain termasuk lapan remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun tidak mengaku bersalah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa secara bersama memiliki dadah jenis Nimetazepam seberat 0.81 gram dan ketamin seberat 1.5 gram di sebuah rumah di Jalan Kelisa Emas, Perai pada 11 pagi, 17 September lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 12 (3) akta sama, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi dua pertuduhan berkenaan dan menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hafiz Hashim sementara semua tertuduh diwakili peguam, Zainal Akram Zainal Azahar.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, semua tertuduh mengaku bersalah kerana memasukkan dadah ke dalam badan di hadapan Majistret Jamaliah Abd Manap.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah pada 2.45 petang hari sama.

Jamaliah membenarkan semua tertuduh dijamin antara RM3,500 hingga RM7,000 sebelum menetapkan 22 November ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, seorang lagi suspek tidak dihadapkan ke mahkamah kerana mendapat rawatan di hospital berikutan kencing manis dihidapinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 6:39 PM
Sebahagian remaja dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk didakwa terbabit dalam pesta hiburan dadah di sebuah rumah di Perai, Ahad lalu. FOTO Ramdzan Masiam