ADAM menunjukkan sijil penghargaan serta Trofi Tokoh Maal Hijrah yang diperolehinya. FOTO Muhammad Sulaiman
Ayusliza Azizan


SELEBRITI Adam Corrie Lee Abdullah dipilih sebagai 'Tokoh Saudara Kita' peringkat Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1439 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, malam tadi.

Adam Corrie, 49, dipilih menerima anugerah berkenaan atas usaha berterusannya dalam bidang dakwah serta sumbangannya kepada Islam melalui platform badan bukan kerajaan (NGO).

Adam Corrie yang juga Kolumnis akhbar ini berkata, dia tidak pernah menyangka menerima anugerah seperti itu.

"Ini kali pertama saya menerima anugerah ini malah saya tak pernah terfikirpun akan diberi pengiktirafan seperti ini.

"Dalam kerjaya saya aktif melalui pertubuhan 'Kembara Iman Malaysia' yang mengadakan program mengerjakan umrah bagi saudara baru yang memiliki pendapatan di bawah RM1,200.

"Selain itu, kita juga mengadakan kelas usrah pada setiap Isnin untuk penggiat seni melalui Persatuan Usrah Fitrah dan saya berharap usaha ini akan berterusan," katanya yang menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi,serta pakej mengerjakan umrah.

Anugerah disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang mewakili ayahanda baginda Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.


OSMAN (dua kiri) bersama penerima anugerah khas. FOTO Muhammad Sulaiman

Sementara itu, bekas pensyarah, Dr Osman Sabran, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor sekali gus menerima wang tunai RM20,000, trofi, sijil penghargaan serta pakej mengerjakan umrah.

Manakala Anugerah Tokoh Keluarga Mithali dirangkul pasangan Mokter Murat dan Salimah Paiman dari Telok Panglima Garang dan Tokoh Aktivis Masyarakat pula dianugerahkan kepada Mahat Tumin.

Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela diraih Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah).

Masing-masing menerima wang tunai RM10,000, sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah serta pakej mengerjakan umrah manakala Salimah turut dihadiahkan buku-buku ilmiah.

Kira-kira 2,000 hadir pada majlis itu yang bertemakan 'Umat Bersatu, Negeri Sejahtera'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 11:56 PM