Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: “Program makan ubi ini memberi kesedaran kepada saya supaya lebih menghargai kemerdekaan negara,” kata Ahmad Sulhi Ahmad Fahmi, 12, seorang daripada 380 murid Sekolah Kebangsaan Teluk Menara (SKTM) yang ditemui ketika Program Makan Ubi Rebus sempena Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan SMKTM 2017, di sini, semalam.

Ahmad Sulhi mengakui, dia menyelami perasaan orang dulu sebelum mencapai kemerdekaan apabila menjamah juadah ubi kerana kekurangan bekalan makanan lain.

“Masyarakat sebelum merdeka bersusah payah dan menjalani kehidupan serba kekurangan sehingga hanya menjamah ubi untuk hidup.

“Saya bersyukur kerana tidak perlu mengalami situasi itu sekarang kerana negara mencapai kemerdekaan.

“Sebagai generasi pelapis kepada pemimpin sekarang, menjadi tanggungjawab saya belajar dengan tekun supaya dapat menerajui kepemimpinan negara pada masa depan,” katanya yang memperoleh keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Rakannya, Nur Alyaa Husna Masnan, 12, berkata, dia yang jarang menjamah juadah ubi kayu dan keledek gembira kerana program itu dianjurkan di sekolah.

[email protected] (dua dari kanan) menyerahkan ubi kepada murid.

“Selain sedar pengorbanan masyarakat dulu, kami rasa lebih bertanggungjawab menghargai dan bersyukur dengan kemerdekaan dinikmati sekarang,” katanya.

Nur Alyaa Husna berkata, dia seronok menyertai program makan ubi selain berpeluang berkonvoi basikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

“Program ini bukan sekadar menyambut kemerdekaan, tetapi memberi kesedaran dan penghayatan kemerdekaan kepada murid,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SKTM Salleh @ Mokhtar Ismail berkata, program makan ubi rebus beramai-ramai dianjurkan sempena Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan SKTM 2017.

MURID SKTM menunjukkan ubi rebus yang sedia untuk dinikmati.

“Program makan ubi rebus itu menjadi tradisi SKTM sejak 2013 dan ia menjadi keunikan SKTM dalam menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan.

“Secara tidak langsung memberi peluang kepada murid menyelami perasaan masyarakat terdahulu yang bergantung kepada juadah itu sebelum negara merdeka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 4:27 AM