KEADAAN motosikal ditunggang Muhammad Asyraff selepas terbabit nahas Isnin lalu.
HM Digital

Subang Jaya: Polis Daerah Subang Jaya sedang mengesan saksi kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di KM4.2, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE ) arah Shah Alam ke Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya memerlukan saksi yang melihat kejadian jam 11 malam itu bagi membantu siasatan selain mengesan pemandu kereta model Proton Iswara berwarna biru.

Dia berkata, mangsa, Muhammad Asyraff Zuhairi, 30, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki Versys 650 bergesel dengan kereta ketika mahu menghampiri persimpangan Seafield.

“Mangsa yang tercampak sejauh 15 meter disahkan meninggal dunia 30 minit kemudian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Sehubungan itu, saksi boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-78627088 atau 03-78627093.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 5:48 AM