Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah menyampaikan replika cek kepada Umar Lai (kanan) sambil diperhatikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


SULTAN Kedah Tuanku Sallehuddin Sultan Badlishah menyeru rakyat supaya tidak mementingkan diri sehingga sanggup memusnahkan agenda penyatuan sekali gus membiarkan negara terancam, retak dan hancur.

Titahnya, sikap kepentingan diri yang sempit bukan sahaja berupaya meruntuhkan tembok kesatuan yang terbina sekian lama, namun ia boleh membuatkan seseorang menyerahkan kuasa yang ada dan menggadai maruah.

Baginda bertitah, umat Islam yang menjiwai erti kesatuan umat adalah mereka yang sentiasa bersikap terbuka, berbaik sangka dan saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang bangsa, warna kulit, atau fahaman politik yang berbeza.

"Sedarlah kita tidak mempunyai tempat lain, selain tanah, air, yang berdaulat ini. Di sinilah tempat tinggal, dan nadi kehidupan kita," titahnya selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah 1439/2017 Peringkat Negeri Kedah, di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman, Alor Setar hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu Sultanah Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tuanku Sallehuddin.

Baginda bertitah, janganlah ada dalam kalangan rakyat yang bersikap mementingkan diri sendiri, sehingga sanggup memusnahkan segala agenda penyatuan dan muafakat yang murni ini.

Pada majlis itu, bekas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Hasbullah Abdul Halim, 76, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439 peringkat negeri Kedah

Hasbullah, yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) membawa pulang wang tunai RM10,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Selain itu, ejen takaful, Umar Lai Abdullah pula diiktiraf sebagai Tokoh Saudara Kita sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, hadiah iringin dan sijil penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 2:38 PM