Abd Mutalip (tengah) beramah mesra bersama Shaa'ri (tiga dari kiri) selepas majlis sambutan Maal Hijrah di Pusat Islam Iskandar. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


BEKAS Timbalan Mufti Johor dipilih sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1439H/2017M, hari ini.

Datuk Shaa’ri€@ Shangari Abdullah, 68, diangkat sebagai penerima anugerah itu beikutan jasa dan sumbangan beliau dalam memartabatkan bidang al-Quran secara serius khususnya di Johor.

Beliau yang berkhidmat selama 33 tahun di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sejak 1980 itu membawa pulang RM10,000, plak anugerah, sijil penghargaan, hadiah iringan dan sepersalinan pakaian.

Hadiah itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim yang juga wakil kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1439H/2017M di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin; Pengarah Jabatan Agama Islam Johor, Amran A Rahman dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadut.

Ketika ditemui, Shaa™ri yang kini menabur bakti sebagai Guru Tahfiz di Madrasah Tahfiz Al-Quran Sidi Ibrahim Ar-Rasyid, Kampung Maju Jaya, Seelong, Johor Bahru berkata, beliau bersyukur dengan anugerah diberikan kepadanya itu dan menyifatkan kejayaannya itu hasil penat lelahnya yang direstui Allah.

Selain itu, beliau berkata, kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat tahfiz yang semakin meningkat menunjukkan bukti umat Islam yang menyanjungi al-Quran.

“€œKecenderungan menghantar anak ke tahfiz semakin meningkat dan kita lihat kewujudan pusat-pusat tahfiz di seluruh negara sama ada dibina oleh kerajaan atau swasta begitu pesat, jika dibandingkan dengan pusat tahfiz atau institusi pengajian tahfiz pada era 60-an.

“€œJadi, kalau kata generasi sekarang ini semakin menjauhi al-Quran, saya tidak setuju juga, kerana semua umat Islam tahu, al-Quran ini sudah tentu untuk kita,” katanya.

Menyentuh isu kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, ia adalah satu pengkhianatan yang amat sedih dilakukan individu berkenaan.

Sebagai guru tahfiz, beliau merasakan tindakan membakar asrama pusat tahfiz itu sebagai tindakan yang tidak wajar walaupun berlaku ketidakpuasan hati di antara dua pihak.

Beliau turut menyambut baik usaha kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menambah baik pusat tahfiz di seluruh negara khususnya dalam soal keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 6:32 PM