Anggota bomba menyelamatkan seorang lelaki yang tersangkut selepas kakinya tersepit pada dahan pokok asam di Kampung Jeliang, Manong, Kuala Kangsar. FOTO ihsan bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SEORANG lelaki yang memanjat pokok asam di hadapan Masjid Kampung Jeliang, Manong, Kuala Kangsar, tersangkut selepas kakinya tersepit di celah dahan pada ketinggian tiga meter, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa yang berusia 24 tahun dipercayai memanjat pokok berkenaan untuk mengambil buah sebelum kakinya tersepit di celah dahan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Aziz Mat Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 4.07 petang daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

Katanya, anggota yang tiba mendapati mangsa masih berada di atas pokok berkenaan sebelum kerja menyelamat dijalankan untuk membawa turun mangsa.

"Anggota menggunakan tangga untuk memanjat pada ketinggian tiga meter sebelum menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kaki mangsa.

"Kaki mangsa dikeluarkan tanpa kecederaan sebelum mangsa dibawa turun oleh anggota dan operasi ditamatkan 4.49 petang," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 6:58 PM